Thursday, 20 December 2012

Sarana PIBG dan Sarana Sekolah

Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak pada 11 September,2012 mengandungi 11 anjakan utama iaitu :
 1. Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa;
2. Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;
3. Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;
4. Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;
5. Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;
6 Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;
7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di seluruh Malaysia;
8. Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;
9. Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta;
 10. Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;
11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.

 Berita Harian Online 11 September,2012

Sarana PIBG dan Sarana Sekolah 

 Selama dua hari berturut-turut (12-13 Disember,2012) berlangsung Sarana PIBG dan Sarana Sekolah anjuran Pejabat Pelajaran Kuala Kangsar di Dewan Hagreave, The Malay College, Kuala Kangsar bagi membincangkan Anjakan ke 9 PPP iaitu Bekerjasama dengan Ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta.Wacana ilmiah ini dihadiri kebanyakan Pengetua/Guru Besar dan YDP PIBG sekolah Rendah dan Menengah Daerah Kuala Kangsar. Pengetua dan PIBG perlu berganding bahu merangka program dan aktiviti memajukan sekolah sebagai sebuah institusi yang disegani . Peranan PIBG membantu sekolah dalam bidang yang dibenarkan seperti termaktub dalam pekeliling KPM bil.5/2001 Batas dan Bidang Kuasa PIBG. Kesefahaman dan keselarian tugas antara pihak sekolah dan PIBG menjadi indikator kemajuan sekolah kerana salah satu ciri kecemerlangan ialah mengekalkan hubungan yang harmoni bersandarkan konsep keikhlasan dan kepercayaan (sincerity and trustworthy) untuk melihat pencapaian anak-anak dalam pembelajaran di sekolah .

 Tugas Pengetua/Guru Besar 

 Peranan Pengetua/Guru Besar selaku pemimpin,pengurus dan pentadbir menjadi cermin kemajuan sekolah. Kegagalan mengurus dan mentadbir merencat pembangunan pendidikan anak-anak . Tugas Pengetua/Guru Besar ialah membentuk budaya sekolahnya menjadi sebuah organisasi yang unggul dan berwibawa melalui kerjasama padu setiap warga. Justeru Pengetua/Guru Besar perlu memiliki ilmu dan kemahiran memimpin, mengurus dan mentadbir bagi memperkasa sumber manusia untuk mencapai matlamat organisasi yang ditetapkan. Sebagai seorang pentadbir,Pengetua/Guru Besar bertanggungjawab secara instruksional memantau proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara berkesan yang menjadi "Core business" atau sasaran tahunan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran disamping pelbagai tugas tugas lain yang perlu dilaksanakan dengan bijaksana,penuh hikmah dan tuntas. Kejayaaan atau kemunduran sesebuah sekolah mempunyai kaitan langsung dengan gaya kepimpinan Pengetua/Guru Besar sebagai peneraju utamanya .

No comments:

Post a Comment

Post a Comment